ppptmm

‘Total Lockdown’ wajar, mohon kerajaan salur bantuan

Ketua Biro Penyelidikan dan Pembangunan, Ts Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar

KUALA LUMPUR (29 MEI 2021): Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia (PPPTMM) mengambil maklum keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) petang semalam berhubung penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara.

PPPTMM memahami kegusaran rakyat terhadap Covid-19 ini apabila jumlah kes positif harian menunjukkan trend peningkatan mendadak setiap hari selain kebimbangan penularan tiga varian baharu (VOC) ketika ini yang mampu mencetuskan lebih banyak kluster dalam kalangan komuniti setempat.

Persatuan berpendapat keputusan yang diambil kerajaan semalam adalah wajar dalam mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 tatkala negara kini berdepan dengan angka kes positif harian di luar jangkaan dengan rekod tertinggi dicatatkan semalam sebanyak 8,290 kes

PPPTMM yang mewakili suara lebih 60 pengusaha pusat tuisyen muslim seluruh negara akur dengan keputusan dan arahan kerajaan yang tidak membenarkan semua sektor beroperasi kecuali ekonomi dan perkhidmatan perlu bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun depan.

Dalam pada masa yang sama, pihak persatuan menjangkakan pelaksanaan ‘total lockdown’ yang bakal dilaksanakan Jun depan akan memberikan impak besar ekonomi terhadap hampir keseluruhan pengusaha tuisyen di negara ini,

Malah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac tahun lepas industri tuisyen merupakan sektor yang paling teruk terjejas di mana hanya dapat beroperasi lebih kurang 3 bulan saja.

Ini mengakibatkan ada di kalangan pengusaha yang terpaksa gulung tikar dan beralih kepada model perniagaan baharu, selain menutup beberapa cawangan bagi mengurangkan kos operasi akibat terpaksa menanggung sewa bulanan bagi premis yang tidak digunakan.

“Bagi pengusaha pusat tuisyen yang menjalankan perkhidmatan pendidikan secara sepenuh masa, ‘total lockdown’ adalah tempoh paling getir dan kritikal buat mereka kerana ada diantara ahli menjadikan perniagaan ini sebagai satu-satunya punca pendapatan mereka.

“Biarpun kebanyakan pengusaha sudah menukar strategi dengan menutup pusat tuisyen dan beralih kepada pembukaan kelas dalam talian namun pendapatanya yang di raih tidak mampu menampung perbelanjaan bulanan serta kos operasi bagi mendapatkan capaian internet.

“Ini berpunca daripada keengganan ibu bapa meneruskan kelas dalam talian kerana mengganggap ianya kurang berkesan. Selain itu, faktor peperiksaan menyebabkan hampir separuh pelajar menamatkan kelas tuisyen susulan pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 2021 pada penghujung April lepas.

Justeru, PPPTMM yang mewakili pengusaha tuiysen di seluruh negara menggesa agar pihak kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan serta melaksanaan moratorium kepada pengusaha pusat tuisyen yang terpaksa menutup operasi perniagaan hampir 10 bulan akibat pelaksanaan PKP tahun lepas.

Disediakan oleh:

Ts Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar

Ketua Biro Penyelidikan dan Pembangunan PPPTMM

Share

Leave a Reply